SASyahiran Azizan
arrow_backAll Articles
TeknologiScammer

Jangan mudah terpedaya dengan scammer!

Kita perlu berhati-hati ketika melibatkan dengan duit, waspada dengan operandi scammer di Malaysia

25 October 2026

Kalau kita lihat di media sosial, semakin ramai individu menjadi mangsa penipuan scammer akibat terlalu mudah mempercayai janji-janji manis yang ditawarkan.

Kita kena faham satu perkara: duit yang sudah dipindahkan kepada scammer bukan mudah untuk diperoleh semula. Ada wang yang dipindahkan ke akaun keldai, ada juga yang terus mengalir ke akaun di luar negara. Apabila transaksi sudah berlaku, proses untuk mengesan dan mendapatkan semula wang tersebut boleh menjadi sangat sukar, malah tiada jaminan wang itu akan dikembalikan.

Jadi, apa yang kita boleh buat?

Hakikatnya, kita tidak mampu menghapuskan semua kegiatan scammer, tetapi kita boleh mengambil langkah berjaga-jaga supaya tidak menjadi mangsa mereka.

Kenali modus operandi scammer yang biasa berlaku

1. Love Scam

Scammer akan cuba membina hubungan emosi bagi mendapatkan kepercayaan mangsa. Mereka mungkin menyamar sebagai pasangan romantik atau individu yang kononnya ikhlas mengambil berat tentang kita.

Apabila kepercayaan sudah terbina, mereka akan mula memperkenalkan peluang pelaburan yang kononnya menguntungkan, mungkin melalui rakan atau platform pelaburan tertentu.

Pada peringkat awal, mangsa mungkin melabur dalam jumlah kecil dan diberikan keuntungan bagi meyakinkan mereka bahawa pelaburan itu benar-benar wujud.

Apabila mangsa mula percaya, mereka akan dipujuk untuk melabur dalam jumlah yang lebih besar, contohnya RM1,000 atau lebih.

Masalah bermula apabila mangsa mahu mengeluarkan wang. Mereka diminta membayar pelbagai caj tambahan, kononnya untuk cukai, pengesahan akaun atau yuran pengeluaran. Walaupun bayaran dibuat, wang tetap tidak dapat dikeluarkan.

Akhirnya, mangsa boleh kehilangan ribuan ringgit hanya kerana mempercayai janji keuntungan yang tidak pernah wujud. Mangsa yang selalu terkena adalah warga emas.

2. Phone Call Scam

Dalam modus operandi ini, scammer akan menyamar sebagai pihak berkuasa, pegawai bank atau agensi kerajaan.

Contohnya, mereka mendakwa diri mereka daripada IPD Bukit Aman dan memberitahu mangsa bahawa terdapat waran tangkap atau kes jenayah yang dikaitkan dengan nama mangsa.

Mereka akan menggunakan taktik ugutan dan tekanan supaya mangsa berasa takut serta panik. Kemudian, mangsa diarahkan untuk memindahkan sejumlah wang kononnya bagi menyelesaikan kes atau mengelakkan diri daripada ditangkap.

Ingat, jangan panik dan jangan pindahkan wang hanya kerana seseorang mengugut anda melalui telefon. Tamatkan panggilan dan sahkan perkara tersebut melalui saluran rasmi pihak berkuasa.

Jangan mudah angkat dengan nombor yang tidak dikenali, dan jika kita angkat nombor tersebut, jangan jawab dahulu, biar mereka yang mulakan, sebab kemungkinan mereka akan merekod suara kita dan dijadikan suara untuk dijadikan sebagai mod operandi di masa akan datang.

3. Scam Jual Beli dan Sewa

Kes seperti ini sering berlaku dalam urusan jual beli barangan terpakai, pembelian telefon pintar, penyewaan rumah dan sebagainya.

Mangsa biasanya tertarik dengan harga yang terlalu murah berbanding harga pasaran.

Contohnya, sebuah iPhone 17 Pro Max ditawarkan pada harga RM1,500, sedangkan harga pasaran jauh lebih tinggi. Tawaran sebegini membuatkan pembeli berasa mereka sedang mendapat peluang keemasan.

Scammer akan menggunakan alasan seperti ramai pembeli sedang menunggu, stok terhad atau perlu membuat bayaran deposit segera.

Selepas wang dipindahkan, penjual terus menghilangkan diri, menyekat nombor telefon mangsa atau memberikan pelbagai alasan untuk melengah-lengahkan urusan.

Prinsipnya mudah: kalau sesuatu tawaran terlalu bagus untuk menjadi kenyataan (too good to be true), jangan terus percaya.

4. Scam Pautan WhatsApp dan Telegram

Kes seperti ini juga kerap berlaku apabila mangsa menerima pautan mencurigakan melalui WhatsApp, Telegram atau platform media sosial yang lain.

Scammer biasanya menggunakan umpan seperti bantuan Elaun MADANI, baucar RM200 percuma, hadiah cabutan bertuah atau pautan yang kononnya menawarkan ganjaran menarik.

Apabila mangsa mengklik pautan tersebut dan mengikuti arahan yang diberikan, mereka mungkin terdedah kepada laman web palsu, kecurian maklumat peribadi atau pemasangan aplikasi berbahaya yang boleh menjejaskan keselamatan telefon.

Dalam sesetengah kes, apabila akaun WhatsApp atau Telegram berjaya diambil alih, scammer akan menyamar sebagai pemilik akaun dan menghantar mesej kepada semua kenalan mangsa untuk meminjam wang.

Disebabkan mesej itu datang daripada akaun kenalan atau ahli keluarga sendiri, penerima mungkin tidak mengesyaki apa-apa lalu terus memindahkan wang kepada scammer.

Bagaimana nak elakkan diri?

  • •Jangan klik pautan yang mencurigakan, terutamanya yang menjanjikan wang percuma, bantuan kerajaan atau hadiah yang tidak diminta.
  • •Jangan masukkan kata laluan, OTP atau kod pengesahan ke laman web yang tidak diketahui.
  • •Aktifkan pengesahan dua langkah (two-step verification) untuk WhatsApp dan Telegram.
  • •Jika menerima mesej daripada kenalan yang meminta pinjaman wang, hubungi mereka melalui panggilan telefon untuk mengesahkan permintaan tersebut sebelum membuat sebarang transaksi.

Ingat, walaupun mesej itu datang daripada akaun WhatsApp atau Telegram orang yang kita kenal, belum tentu orang tersebut yang sedang menghubungi kita. Akaun mereka mungkin telah diceroboh atau diambil alih oleh scammer.

Jangan mudah percaya dan sentiasa semak sebelum bertindak!

Bagaimana nak elakkan diri daripada menjadi mangsa scammer?

1. Semak dahulu sebelum membuat sebarang bayaran.

Periksa latar belakang individu atau penjual, akaun media sosial, sejarah aktiviti dan maklumat yang diberikan. Semak nombor akaun bank atau nombor telefon melalui portal rasmi Semak Mule PDRM:

🔗 https://semakmule.rmp.gov.my

Jika terdapat rekod laporan berkaitan, elakkan urusan tersebut sehingga perkara itu disahkan. Namun, ketiadaan rekod laporan bukan bermaksud individu itu semestinya selamat.

2. Utamakan transaksi secara bersemuka apabila sesuai.

Untuk urusan jual beli barangan, cuba berjumpa di tempat awam yang selamat, periksa barang terlebih dahulu dan pastikan barang tersebut benar-benar wujud sebelum membuat bayaran.

Bagi urusan sewaan rumah pula, pastikan anda telah mengesahkan identiti pemilik atau wakil yang sah serta melihat rumah tersebut sebelum membayar deposit.

Walau bagaimanapun, berjumpa secara fizikal juga bukan jaminan mutlak bahawa sesuatu urusan itu bebas daripada penipuan.

3. Jangan terburu-buru membuat keputusan.

Jika individu tersebut mendesak anda membuat bayaran segera, memberikan alasan yang berubah-ubah atau tiba-tiba membatalkan pertemuan, ambil langkah berjaga-jaga.

Contohnya, anda berada di Perak tetapi penjual mendakwa berada di Sabah dan meminta bayaran penuh terlebih dahulu sebelum barang dihantar.

Jangan mudah percaya hanya kerana mereka memberikan alasan yang kedengaran munasabah. Sahkan identiti, periksa bukti dan pastikan urusan itu selamat sebelum meneruskan pembayaran.

4. Jangan kongsi maklumat sulit.

Jangan berikan nombor PIN, kata laluan, OTP/TAC atau maklumat perbankan kepada sesiapa. Jangan klik pautan yang mencurigakan atau memasang aplikasi yang diarahkan oleh individu yang tidak dikenali.

5. Jika rasa ragu-ragu, berhenti dahulu.

Tidak salah untuk menolak sesuatu tawaran walaupun nampak sangat menguntungkan. Lebih baik terlepas peluang daripada kehilangan wang hasil titik peluh sendiri.

Jika anda sudah membuat pindahan wang dan mengesyaki diri telah ditipu, hubungi bank anda dengan segera dan telefon NSRC di 997 untuk mendapatkan bantuan. Bertindak pantas boleh membantu usaha menyekat aliran wang, tetapi pemulangan wang tidak dijamin.

💰 Sayangilah duit hasil titik peluh kita.

Kita bekerja keras setiap hari untuk mencari rezeki, membayar komitmen dan menyara keluarga. Jangan biarkan wang yang dikumpul selama berbulan-bulan atau bertahun-tahun hilang hanya kerana terlalu mudah mempercayai seseorang.

Scammer semakin licik. Mereka bukan sahaja menggunakan teknologi, malah memanipulasi emosi, ketakutan dan keinginan kita untuk mendapatkan keuntungan.

Ingat 3 perkara ini:

  • •Jangan mudah percaya.
  • •Jangan terburu-buru membuat bayaran.
  • •Jangan pindahkan wang jika belum membuat pengesahan.

Kongsikan perkongsian ini kepada kenalan, ahli keluarga terdekat. Mungkin dengan satu perkongsian, kita dapat membantu seseorang mengelakkan kerugian ribuan ringgit.

Mencegah lebih baik daripada menyesal. Jangan beri peluang kepada scammer untuk mengambil duit kita!

arrow_backBack to all articles